Thursday, June 6, 2019

Hariraya Pertama Yang Menyakitkan

Sekali lagi aku tertanya-tanya, di mana silapnya aku Ya Allah sehingga aku berhadapan dengan semua ini? Di manakah kurangnya aku sehingga aku diuji begini? Aku tahu ujian ini untuk melatih kesabaranku. Tetapi sebagai manusia biasa, aku tidak bisa lari dari sedih. 



Hariraya hari untuk kita bersukaria. Tapi sebaliknya berlaku. Apakah aku ini menyusahkan orang-orang sekelilingku? Hatiku benar-benar terasa dengan apa yang berlaku semalam. Aku rasa terhina. Aku rasa tak berharga. Aku rasa tak ada orang yang peduli akan perasaanku. Semua orang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan apa yang ku rasa. 


Abah tinggal di rumah nenek kerana kurang sihat. Dua buah kereta yang dipandu acik dan adik iparku, bergerak untuk berziarah ke rumah saudara-mara. 


Sebaik sahaja aku menuruni tangga menuju ke kereta acik, acik memegangku lalu menukar arahku ke kereta angah. Sedangkan, dia tahu yang hubungan aku dan angah tak sebaik hubungan dia dan angah. “Kenapa?” Tanyaku kepadanya. 


“Naiklah kereta sana.” Katanya kepadaku. 


“Tak naklah.” Aku terus ke keretanya. Ya Allah, kalau aku naik kereta angah, aku nak jalan dengan siapa? Angah dah tentu nak berjalan dengan suaminya. Lagipun aku segan dengan adik iparku kalau angah melakukan sesuatu atau bercakap sesuatu yang tidak patut di hadapannya. 


Setibanya di rumah Abang Rin, Hakim dan acik yang duduk di hadapan serta kawan acik yang duduk di sebelahku keluar dari kereta. Begitu juga denganku. Tapi, tak ada siapapun yang datang kepadaku untuk memimpinku. Ya Allah, Tuhan saja yang tahu perasaanku dikala itu. Abang Rin terus mendapatkan aku dan bertanya khabar tentangku. Kebetulan mama datang mengambil barang dari bonit kereta. Dang dia memberitahu adik-adikku, “Heretlah along ni,” Astaghfirullahalazim, kata-kata tu benar-benar buat aku tersinggung. Aku bukan lembu ya boleh diheret-heret. Tak apa Teja, Allah sedang menguji. Bisikku kepada diri sendiri. Tapi, masih tidak ada siapa yang datang kepadaku. Lalu, mungkin menyedari situasi berlaku, Abang Rin memimpin aku ke meja untuk duduk. 


Aku tertanya-tanya, siapa pula yang akan mengambilkan makananku? Di meja tu ada angah bersama suaminya. Angah pun suruh suaminya yang ambilkan makanannya. Takkan aku nak suruh adik ipar jugak yang ambilkan? Aku diam. Cuba memaniskan muka agar gejolak di jiwa tidak kelihatan. Abang Rin datang lagi kepadaku membawa air oren. Abang Rin memang baik. Selalu memahamiku sejak dari dulu aku berulang-alik ke rumahnya menjaga arwah chek. Mama kemudian mengambil tempat di sebelahku. Aku lega. Sekurang-kurangnya, mama ada. 


Dalam perjalanan ke rumah seterusnya, Hakim duduk di belakang bersamaku. Dan setibanya kami di rumah seterusnya, Hakim memimpinku masuk ke dalam rumah. Hakim yang menjagaku sehinggalah kami naik kereta semula. Sebenarnya dari sebelum bertolak ke rumah nenek lagi, kami berkunjung ke rumah jiran. Hakim yang banyak bersamaku. Ketika makan pun dia duduk bersamaku. 


Ya Allah, aku tak pernah rasa sedih macam ni bila beraya. Yelah, dulu masa abah sihat, kami tak pernah keluar beraya tanpa abah. Dan ke mana pun kami beraya, abahlah orang paling setia menemaniku, memimpinku, mengambilkan makanan untukku, mencarikan kasutku bila kasutku disepak orang entah ke mana. Kalau orang lain pimpinku, abah pasti mengambilku daripada mereka. Abah cepat membaca sama ada aku selesa atau tidak apabila berjalan dengan orang lain. Kalau aku ada rasa tak selesa, pasti tak lama abah pasti mengambilku daripada orang itu. Tapi kalau aku rasa selesa, abah pasti biarkan aku bersamanya. Itu pun tak lama. Nanti abah juga yang akan memimpinku. Kalau berhenti solat, abah pasti menghantarku ke pintu masjid bahagian perempuan, barulah diserahkan aku kepada mama atau adik-adikku. Abah cukup memahamiku. Tapi sekarang, abah tak sihat. Abah tak nak ikut kami beraya. Dan kalau aku tahu hal ini akan berlaku, pasti aku juga akan duduk di rumah bersama abah. Biarlah tak berayapun. Janji hati ini tak terluka di hariraya dengan perkara-perkara macam ni. 


Abah, along sayang abah. Abah sangat mengambil berat tentang keperluanku yang tidak dapat melihat sehinggakan bila Mr. Nice Guy datang bertemunya, itulah satu-satunya soalan yang ditanyakan kepada MNG. Sanggup tak jaga aku yang tak nampak ni? Abah siap describe, yang berjalan pun MNG kena pimpin aku. Kalau makan pun, MNG kena letakkan lauk-pauk ke dalam pingganku. Itu yang abah risaukan. Abah risau kalau MNG tak sanggup buat tu semua untuk aku. Abah tak tanya pun pasal status MNG, gaji, mampu atau tidak dan sebagainya. Abah hanya nakkan seorang lelaki yang mahu bersamaku dalam susah dan senangku. Itulah abah. 


Kejadian raya kali ni membuatkan aku rasa terhina. Rasa tak dihargai. Aku kecewa dan sedih. Aku sangat terluka dengan perbuatan mereka. 


Apa yang aku perhatikan, abah sangat risau kalau MNG tak sanggup buat semua perkara di atas kepadaku. Tapi aku lihat, adik iparku pun serve adikku yang berpenglihatan tu makan. Ambilkan makanan, makan bersuap kata nenek,letakkan lauk dalam pinggan. Maknanya, bukan wife atau husband blind je pasangan akan buat macam tu ya?sighted dengan sighted pun buat je macam tu. Janji ada rasa cinta kot. 

No comments: