Thursday, July 30, 2009

Benarkah Demikian?

Apa benar orang yang belajar di luar Negara itu kebanyakannya akan berubah? Maksud aku… Berubah menjadi kurang mesra. Mungkin merasakan diri telah luas pengalaman dan bijak jika dibandingkan dengan ahli keluarga yang lain meskipun mempunyai kelulusan yang sama taraf. Kalau benar, kenapa begitu ya? Lupakah mereka yang manusia itu diciptakan dengan segala keindahan dan disertakan dengan kelemahan tertentu? Tidak ada manusia itu yang sempurna di sisi Allah. Segala kebijaksanaan tidak dipandang Allah melainkan amal solehnya.

Terdetik hatiku untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya tatkala mummy (panggilan untuk nenek) memberitahuku menerusi telefon yang Angah kini tidak seperti Angah yang dahulu. Kata mummy, Angah tidak semanja dulu. Caranya, bicaranya, gaya serta lagaknya ternyata berubah. Angah juga tidak pulang ke rumah mummy selama dia pulang dari Perancis sehingga mummy datang ke rumah kerana mama sakit. Angah juga tidak ke rumah cik (panggilan untuk moyang) untuk menjenguk orang tua itu. Kasihan cik, tentu dia sedang menanti kedatangan cicitnya yang pulang bercuti itu. Alangkah aku yang merantau di Kuala Lumpur ini pun sentiasa dinanti kepulangan dan panggilan, apatah lagi yang jauh nun beribu batu di sana. Mummy juga ada bertanya padanya, tidak mahu berjumpa Alongkah sebelum pulang ke Paris? Katanya, mungkin tidak. Sebenarnya Angah sudah menunjukkan perubahan sikapnya setelah aku tamat semester satu di UiTM. Dia sering moody, bercakap juga sering marah-marah. Adakalanya malas untuk bercakap. Kadang-kadang, bila aku menegurnya supaya melipat baju yang telah diangkat dari jemuran, dia tidak bertegur sapa denganku untuk beberapa hari, sedangkan, aku tidak marah-marah. Pernah sekali, dia memberitahu abah yang aku memarahinya sehingga tidak menegurnya. Memang sebelum itu kami ada berselisih faham. Tapi, kami telah berbaik kembali dan keluar bersama. Alih-alih, dia balik dan mengadu pada abah. Abah menegurku kerana memperlakukan dia begitu. Aku terkejut,

"Kami kan dah baik, abah," Kataku.
"Dia kata tak?"
"Bila dia kata Along tak tegur dia?" Tanyaku kepada abah inginkan kepastian. Mana tahu kalau apa yang diceritakan tu, semasa kami tengah bergaduh.
"Sekaranglah. Apa buat perangai macam tu, long," Aku sedih.
"Mana ada. Kami memang gaduh, tapi dah baik. Kami dah keluar bersama dan Along pun ada bagi duit kat dia sebab dia tak ada duit." Memang aku ada memberi wang padanya ketika itu. Yalah, duduk di universiti yang sama, tolong-menolonglah. Aku tidak tahu mengapa. Tapi, kami sering menghabiskan masa bersama baik semasa dia mengikuti matrikulasi di UiTM mahupun sewaktu membuat persediaan untuk ke Perancis. Mama juga ada memberitahuku yang abah kata, aku tidak bertegur sapa dengan Angah.

"Habis, mama kata apa?" Aku sengaja menduga mama.
"Alah, bukan awak tak tahu anak kesayangan awak tu," Memang abah nampak rapat dengan Angah setelah aku masuk ke asrama. Adakalanya, abah lebih mengutamakan Angah. Tapi itu tidak bermakna abah meminggirkan aku dan adik-adik yang lain. Cuma dia lebih kepada Angah. Namun, abah masih memberikan apa yang kami mahu dan memberi perhatian kepada kami.
"Abah jawab apa?" Tanyaku lagi.
"Abah diam,"

Fasal kes baju yang Angah biarkan di ruang tamu dan aku meletakkan semua baju tersebut di atas katil dulu pun begitu. Dia marah lalu tidak menegurku. Aku tidak pernah menceritakan pada sesiapa. Tiba-tiba mama bertanya kepadaku.

"Angah tak tegur Along ke?" Ketika itu, hanya aku duduk-duduk dengan mama. Eh, mana mama tahu?
"Mana mama tahu?"
"Mama tengoklah,"
"A...Ah, tapi bukan orang yang tak tegur dia,"
"Fasal baju hari tu ke?" Ya, memang masa aku letakkan baju Angah di atas katilnya mama ada bersama.
"Yalah, kot,"

Antara aku dan Angah, banyak perbezaannya. Walaupun kami kadang-kadang berselisih pendapat dalam hal tertentu namun, itu tidak menghalang kemesraan antara kami. Malah dulu, dia sering meluahkan perasaannya padaku. Aku juga walaupun tidak selalu, turut meluahkan rasaku padanya. Dalam banyak hal lainnya, kami sering sependapat. Sepanjang dia pulang bercuti kali ini, belum sekalipun dia mengirimkan SMS atau menghubungiku.

Kenapa Angah? Kenapa kau tak seperti dulu? Dulu, kita selalu menghabiskan masa bersama, berbual-bual dan bergelak ketawa hingga adakalanya mencecah lewat pagi. Apakah kerana aku ini tidak mempunyai pekerjaan yang baik? Maklumlah, walaupun aku ini berkelulusan ijazah, tapi gaji yang ku terima tidak sampaipun RM1000. Mungkin rezekiku masih belum tiba. Hanya Allah yang tahu akan masa dan tempatnya.

Aku harap, Angah akan kembali menjadi Angah yang dulu. Sekiranya hubungan kita tidak semesra dulu disebabkan Along, Along minta maaf ya, Ngah. Manalah tahu kalau ada bicaraku atau perilakuku yang menyakiti hatimu. Aku juga manusia biasa, punya kesilapan yang tidak dapat dielakkan. Percayalah, aku mahukan kita seperti dulu, sentiasa riang bersama dan saling mengingati antara satu sama lain meskipun kita jauh.

No comments: