Monday, July 27, 2009

Hang Tuah, Sahabat Di Alam Maya

Teringat aku kepada Tuah. Hari itu, buat ke sekian kalinya, Hang Tuah menghubungiku. Jika tidak menelefon, pasti SMS dikirimkan untuk bertanya khabar. Tapi… Kami lebih suka berbual menerusi telefon berbanding SMS. Mungkin banyak perkara yang boleh kami bualkan secara langsung. Jika Tuah menghubungiku, kami pasti berbual panjang sehingga kadangkala mencecah dua jam. Tidakku sangka, insan-insan di maya ini masih mampu menjadi sahabat yang baik meskipun tidak pernah bersua wajah. Tuah merupakan salah seorang dari mereka yang sedikit itu. Dia tidak seperti kebanyakan sahabat yang ku temu di maya ini yang sekejap datang, kemudian hilang tanpa berita. Terima kasih Tuah, kerana menerima diri ini seadanya tanpa mengira siapa pun aku.

Tuah, ku kira orangnya bijak menyesuaikan diri dengan orang yang baru dikenali dan keadaan persekitaran. Topik perbualan kami biasanya berkisar kepada kehidupan masing-masing dan apa jua perkara yang terlintas. Apa yang mengkagumkan, Tuah juga boleh memasak (tapi bukan lembut – itu amaran yang diberi Tuah kepadaku saat aku terkejut dengan ceritanya). Tuah sering menceritakan yang ibunya suka memasak dan menampal resipi masakan pada peti ais. Apabila ibunya tiada, Tuah akan memasak berpandukan resipi tersebut. Berbual dengannya, sering membuatkan aku tertawa riang.

“Awak buat apa tu?”
“Tengah berselubung dalam conforter,”
“Bila pula Hang Tuah pandai guna conforter ni?” Saja aku mengenakan dirinya.
“Eh ada dicatatkan dalam kitablah. Ni kan sejarah, awak tak tahu ke?” Itulah ayat yang sering dilafazkannya apabila memperkatakan sesuatu yang menyalahi fakta.
“Sejarah? Awak belajar kat mana ni? Saya tak ada pun belajar sejarah yang ada fakta ni,” Aku berpura-pura bingung sambil menahan tawa.
“Itulah, awak belajar sejarah, tak sama macam sejarah yang saya belajar,”
“Awak belajar sejarah apa?”
“Saya, belajar sejarah advance. Tulah, awak kena belajar dengan saya ni, baru advance sikit pengetahuan awak tu,” Akhirnya, kami sama-sama tergelak. Namun, keadaan bertukar serius apabila perbualan berkisarkan kepada hal-hal yang serius.

Tuah, Tuah, teringat aku kali pertama mengenalinya dua tahun lalu:

(Imbas kembali):
Menghabiskan malam di kampus tanpa assignment amat membosankan. Apatah lagi bila minda malas untuk menerima sebarang input berkeitan pelajaran. Malam itu, aku keseorangan. Siti, teman sebilikku pulang ke rumah ibu saudaranya di Serdang. Siapa lagi temanku dikala sendirian di hujung minggu begini kalau tidak Ferrari yang baru abah belikan? Ferrariku keluarkan dari begnya. Setelah menyambungkan wayarnya, “button on” ku tekan. “Window” muncul di skrin, diiringi ngauman enjin Ferrari mengisyaratkan “window” telah sedia untuk digunakan. Sambungan internet secara percuma ke setiap apartment (yang diubahsuai menjadi kampus kediaman) harus dimanfaatkan hihi. Aku mencari “skype”, butang “enter” ku tekan untuk mengaktifkannya. Aku menyapa beberapa kenalan yang sedia ada dalam senarai “contact”.

Setelah lama ber”chating”, aku membawa Ferrari ke katil kerana aku ingin berbaring. Begitulah aku kelazimannya. Sejurus kemudian, “notebook” ku mengeluarkan satu bunyi menandakan ada seseorang mahu memulakan persahabatan denganku. Aku terjaga dari lamunan lantas melihat siapakah gerangan orang tersebut. Hang Tuah? Klasiknya nama! Menerusi “chat” tersebut, aku mengetahui bahawa Tuah juga seorang siswa di salah sebuah IPTA dalam jurusan kejuruteraan… Ah, aku lupa pengkhususannya.

Persahabatan kami terhenti hanya di situ setelah aku menamatkan pengajian beberapa hari setelah itu dan menjalani latihan pekerjaan anjuran persatuan dan seterusnya bekerja. Bagaimana mahu meneruskan persahabatan di “skype” jika PC yang aku gunakan tidak mempunyai “software” tersebut? Ini ditambah lagi dengan ketiadaan rangkaian internet di rumah sewaku. Bagaimanapun, aku dan rakan-rakan skype akan “chat” jika aku pulang ke rumah mama kerana aku boleh menyambung rangkaian internet ke Ferrari. Jika aku “online” dan kebetulan Tuah juga “online” kami akan “chat”.

Musim perayaan tahun lepas, aku pulang ke kampung setelah beberapa bulan bekerja. Hang Tuah masih seperti biasa menegurku ketika aku mengaktifkan skype. Sungguh tidakku sangka, Tuah masih lagi sudi menyapaku setelah lama aku menyepikan diri. Ramai juga rakan skypeku yang tidak lagi mahu “chat” denganku ketika aku membuat kemunculan semula. Mungkin aku sudah dilupakan. Malam itu, Tuah meminta nombor telefonku. Katanya, lebih baik dia menghubungiku menerusi telefon kerana kami boleh berbual panjang dan tidak terbatas seperti di skype. Setelah aku memberikan nombor telefon, Tuah terus menelefonku. Berdebar juga aku tatkala mahu menyambut panggilannya. Bukan apa, bolehkah kami berbual atau masing-masing akan kaku, tidak tahu apa yang harus dibualkan. Maklumlah, kami kan belum pernah berbual secara “live”.

“Assalammualaikum,” Suaranya menyapa telingaku.
“Waalaikummussalam, siapa tu?” Jawabku ringkas diiringi dengan soalan. Alamak, macam mana boleh keluar soalan tu pula? Tak apalah, harap-harap, dia memberikan nama sebenarnya.
“Hang Tuah kat sini, yang kat sana tu siapa, ya?” Jawabnya dengan mesra. Ish! Tahulah Hang Tuah, nama sebenar apa? Gumamku dalam hati. Otakku ligat memikirkan nama yang sesuai untuk diberikan padanya. Main-main ek? Ish, aku tak boleh kalah ni. Tuah, siapa nama tokoh perempuan sezaman dengannya ya? Tun Teja!
“Hamba Tun Teja, Srikandi Melayu,”
“Oh tuan hamba rupanya Teja, bagaimana keadaan di Bumi Pahang?” Alamak! Pahang? Nama Teja ku rasakan kurang tepat kerana aku bukan berasal dari Pahang. Tapi itulah yang paling sesuai dengan nama Tuah. Hentam sajalah, Labu! Dia pun bukan orang Melaka.
“Keadaan di sini baik-baik saja. Bagaimana pula dengan Melaka dan jajahannya di bawah pentadbiran tuan hamba, Laksmana Tuah?” Tanyaku dengan lagak pelakon cerita klasik bangsawan di kaca televisyen.
“Jajahan Melaka berada dalam keadaan aman di bawah pemerintahan tuanku sultan yang berdaulat,” Tuah mempamerkan ketaatannya ke bawah duli sultan Melaka.
“Gerangan apakah yang membuatkan datuk laksmana menghubungi hamba ini?”

Keadaan tersebut berterusan beberapa ketika. Kemudian, kami beralih kepada pengenalan diri masing-masing dan topic-topik lain.

“Tak sangka ya, kita kawan baru, tapi dah boleh berbual sampai macam ni. Tadi saya takut juga, takut tak tahu apa yang nak dibualkan,” Hang Tuah meluahkan perasaannya.
“Saya pun sama,” Balasku.

Bermula dari hari itu, kami mula menjadi kawan dan berhubung menerusi telefon. Seperti biasa, aku jujur memperkenalkan diriku kepadanya. Bagiku, meskipun sekadar kawan biasa, kejujuran itu penting dan sesiapa yang mahu berkawan denganku tidak kira lelaki atau perempuan, perlu mengetahui siapa aku sebenarnya.

No comments: