Thursday, July 23, 2009

Masih Adakah Lelaki Sepertinya?

Dua tahun lalu, pernah hadir di sini seorang lelaki yang menghulur cintanya dengan ikhlas. Namun pada waktu itu, hati ini baru saja dimiliki. Abang Zakri (bukan nama sebenar) yang pernah berselisih jalan denganku di suatu kawasan di Kuala Lumpur, begitu berminat untuk mengenali diriku dengan lebih dekat. Mungkin itulah yang dikatakan cinta pandang pertama, sedangkan aku waktu itu, langsung tidak menyedari akan dirinya. Menurut katanya, puas dia memikirkan cara untuk mendapatkan nombor telefonku. Untuk bertanyakan kepada rakan-rakan, dia malu, takut niatnya dapat dihidu oleh mereka. Menurut cerita Abang Zakri lagi, suatu hari tatkala berbual-bual tentang lagu dan muzik bersama Syah (bukan nama sebenar) yang juga merupakan rakanku. Abang Zakri bertanyakan padanya sama ada dia ada menyimpan atau tidak beberapa buah lagu yang dikehendakinya, Syah mengatakan yang dia tidak mempunyai lagu-lagu tersebut. Syah menyarankan dia memuat turun dari internet. Namun, dia tidak tahu bagaimana. Syah lantas menyarankan Abang Zakri agar menghubungiku kerana Syah tahu yang aku sering melayari internet dan memuat turun apa saja yang aku mahu. Tanpa berlengah, dia meminta nombor telefon Aku dari Syah.

Suatu malam, aku menerima panggilan daripada seseorang yang tidak aku kenali. Tanpa memperkenalkan dirinya, dia bertanyakan khabarku. Tanya khabarnya ku balas dengan baik lantas, aku bertanya pula akan namanya. Tanpa menjawab, dia terus mengemukakan beberapa soalan lain. Aku jadi marah lalu mematikan talian. Beberapa saat kemudian, telefon bimbitku menjerit lagi. Oh, orang yang sama. Kali ini dia meminta maaf dan memperkenalkan dirinya. Mulai dari malam itu, kami menjadi kawan. Namun, apa yang membuatkan aku berasa pelik, Abang Zakri boleh dikatakan setiap hari menghubungiku. Kadang-kadang, beberapa kali sehari. Aku mula resah. Aku tidak mahu memberi harapan palsu kepada orang, kerana aku tahu betapa pedihnya hati bila terluka. Tidak mahu dilayan, takut dikata sombong. Bahkan, dia sering mengambil berat tentangku. Aku masih ingat, pada ketika aku menyertai ekspedisi ke Gunung Tahan, ia beria-ia mahu membelikan aku "Power Bar" (sejenis coklat penambah tenaga ketika menjalankan aktiviti lasak) buat bekalan aku dalam ekspedisi tersebut. Biarpun aku menegahnya, dia tetap berdegil. Apabila gagal mendapatkan Power Bar tersebut, dia meninggalkan sejumlah wang pada penyambut tamu persatuan yang menganjurkan ekspedisi tersebut . Aku enggan menerimanya. Tapi apabila dia berkecil hati, aku terpaksa menerimanya. Bukan aku tak sudi menerima pemberiannya tapi aku takut, kalau orang mengatakan aku materialistik.

Sehari sebelum memulakan ekspedisi, aku dan peserta ekspedisi yang lain menginap di Taman Negara. Abang Zakri masih seperti hari-hari sebelumnya menghubungiku meskipun talian telefon di situ tidak berapa elok. Beberapa kali talian kami terputus lantaran talian yang tidak elok namun dia setia menghubungiku kembali. Dalam perbualan kali ini, Abang Zakri bertanyakan tentang status diriku. Aku merasakan yang dia seorang lelaki yang baik dan ikhlas. Aku tidak mahu menipunya. Lalu, aku berterus-terang. Suara kekecewaan Abang Zakri dapat ku tangkap menerusi bicaranya. "Maafkan aku Abang Zakri, aku tidak berniat untuk menyakiti hatimu, jauh sekali mengkhianati dirimu." Bagiku, inilah cara terbaik yang harus aku lakukan agar tidak ada perkara berbangkit di kemudian hari.

11 hari di pergunungan, membuatkan duniaku dengan dunia luar terbatas. Selama 11 hari itu jugalah, aku tidak berhubung dengan Abang Zakri. Entah apalah khabarnya nun di Kuala Lumpur. Aku pasti, selepas ini akan tiada lagi panggilan dari Abang Zakri buatku. Ternyata, telahan ku itu salah. Sebaik sahaja aku tiba di tempat penginapan di kaki gunung setelah makan, aku menerima satu panggilan. Aku menyambutnya. Ya, aku kenal suara itu, Abang Zakri! Aku kaget. Dia masih mahu berhubung denganku? Dengan suara ceria dia mengucapkan tahniah di atas kejayaanku atau lebih tepat kejayaan kumpulan ekspedisi menawan Puncak Gunung Tahan. Bukan itu saja, macam-macam ditanyanya tentang gunung dan ekspedisiku.

Aku kembali menjalani kehidupanku seperti biasa di Kuala Lumpur. Saban hari, aku menerima panggilan Abang Zakri. Oh Tuhan! Apakah Abang Zakri sudah lupa dengan apa yang ku katakan padanya? Atau... Ini satu usaha untuk memenangi hatiku? Dikala itu, hatiku masih teguh buat dia. Tidak sedikitpun terlintas di hati ini untuk mengkhianati cinta yang dibina. Lebih memeningkan aku, ketika aku menjalani latihan pekerjaan di persatuan, Ada saja makanan yang diletakkan oleh Abang Zakri di atas mejaku pada setiap hari Jumaat. Aku tidak sampai hati menolak pemberiannya. Dalam resah, aku menerimanya.

Hari lahirku pada tahun itu, dikejutkan dengan hadiah daripada Abang Zakri. Tatkala aku dengan dia mempunyai krisis dan dia seolah-olah mengabaikan aku dengan tidak menghubungiku, Abang Zakri semakin dekat denganku. Tapi, mana mungkin aku berpaling tadah. Hatiku terharu tatkala menerima beg kertas berwarna ungu daripada Abang Zakri. Di dalamnya ada sebuah hadiah yang berbalut cantik. Tiba di rumah, aku membuka hadiah tersebut. Ya Allah, minyak wangi Christine Deor dari jenis Jadore muncul tatkala balutannya ku buka. Minyak wangi kegemaranku. Bagaimana Abang Zakri tahu? Oh ya, aku pernah memberitahunya tentang minyak wangi yang paling aku suka ketika kami berbual tentang minyak wangi. Minyak wangi yang berharga RM210.00 ini dihadiahkan kepadaku? Apa makna ini semua? Hatiku dijengah rasa tak keruan. Aku mahu Abang Zakri tahu, yang aku dengannya tidak lebih dari seorang kawan. Ya Allah! Apa yang harus aku lakukan?

Malamnya, Abang Zakri menghubungiku. Aku yang sedang bersedih kerana dia menjawab panggilannya. (biar aku ceritakan dalam bentuk dialog. Memang dialog ini bukan sebiji dengan perbulan kami tapi bunyinya lebih kurang begini):

"Hello," Jawabku sedih.

Seperti biasa Abang Zakri bertanyakan khabarku dan aktiviti harianku. Aku yang tidak seceria biasa menjawab ala kadar.

"Awak macam sedih je, kenapa?"
"Tak ada apa-apalah. Okay je," Aku cuba berlagak ceria.
"Abang tahu awak tipu. Awak sedih ek?"
"Taklah,"
"Cerita dengan abang. Awak ada masalah dengan dia ke?" Gulp! Ahli nujum ke dia ni?
"Taklah," Bohongku.

Aku mengalih tajuk perbualan kami.

"Awak dah buka hadiah tu?"
"Dah, terima kasih ya,"
"Sama-sama. Awak suka tak?"
"Suka, tapi..."
"Kenapa?"
"Kenapa awak bagi saya hadiah mahal-mahal?"
"Kan hari jadi awak. Abang tahu awak suka minyak wangi tu. Abang bagilah."
"Mahal sangat. Maafkan saya sebab susahkan Aawak. Saya cakap saya suka je, bukannya saya minta dengan awak,"
"Tak ada susahlah, abang suka kalau awak gembira. Abang nak awak gembira je,"
"Awak, boleh saya tanya sesuatu?"
"Tanyalah, apa dia?" Abang? Sejak bila pula dia ni bahasakan diri dia abang dengan aku ni?
"Awak janji dulu dengan saya yang awak akan jujur dengan saya. Jangan malu tau,"
"Yalah, apa dia?"
"Janjilah dulu,"
"Yalah, abang janji," Aku leretkan senyum. Dia mesti berterus-terang denganku.
"Awak, kenapa awak selalu ambil berat tentang saya? Selalu bagi saya barang, kadang-kadang... Mahal-mahal pula tu?"
"Saja, abang suka bila awak gembira. Sejak akhir-akhir ni awak sedih je,"
"Tak! Awak tak jawab soalan saya dengan jujur. Tadikan dah janji?" Dadaku terasa sebak menahan tangis. Aku terharu dengan sikapnya. Dia sering mengambil berat tentangku. Selalu ada untuk diriku tatkala aku memerlukannya. Malah, dia pendengar setia pada setiap keluh-kesahku meskipun dalam hal-hal antara aku dan dia. Apa yang paling memilukan, Abang Zakri tidak pernah mengatakan yang bukan-bukan tentang dia meskipun dia (Abang Zakri) dapat mengagak apa yang berlaku antara aku dan dia. Dia sering menasihatiku "Kalau awak betul sayangkan dia, awak kena terima dia seadanya, tak kira siapapun dia, apapun sikapnya. Sabarlah, abang tahu awak perempuan yang baik, penyabar. Cinta tu selalu ada ujiannya. Awak kena kuat dan yakin dengan dia," Setiap kali dia memberi nasihat itu, aku pasti menangis. Menangis kerana dia yang sanggup melukai hatinya sendiri demi untukku. Kejamkah aku? Tapi... Aku tidak punya sesiapa untuk ku luahkan kesedihanku. Dan... Kali ini, aku harus mengatakan sesuatu yang bisa menambah luka di hatinya.

"Apa pula, betullah," Suara Abang Zakri lembut.
"Awak tipu saya," Suaraku perlahan tapi tegas. Abang Zakri diam untuk beberapa ketika. mungkin mencari kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.
"Kenapa awak tanya sedangkan awak tahu kenapa?" Aku tidak puas hati. Rasa malu ku buangkan jauh-jauh kerana inginkan kepastian.
"Betul ke awak tak ada apa-apa perasaan pada saya?" Abang Zakri diam.
"Awak kan tahu macam mana abang?" Tangisan yang ku tahan sudah tidak mampu dibendung.
"Awak, jangan terlalu baik dengan saya. Sebab saya tahu, saya tak mampu nak bagi awak apa yang awak nak,"
"Ish, kenapa nangis? Awak jangan salah anggap, abang bagi sebab abang suka nak bagi. Abang nak buat yang terbaik untuk awak. Abang ikhlas, abang tak minta balasan. Abang akan buat selagi boleh,"
"Saya tak nak awak sedih. Saya tak nak lukakan hati awak sebab awak baik," Kataku dalam esak tangis.
"Taklah, abang okay, awak tak payah rasa bersalah, dah abang yang nak buat semua ni, bukan salah awak. Awak kan dah bagi tahu awal-awal lagi tentang siapa awak. Abang bukannya tak tahu awak dengan dia,"
"Saya cuma nak ingatkan awak. Saya rasa bersalah sangat..."
"Jangan cakap macam tu. Awak tak salah apa-apa dengan abang,"
"Saya minta maaf ya awak sebab tak dapat bagi apa yang awak nak,"
"Tak, awak tak salah. Awak sudi nak berbual dan kawan dengan abang pun dah cukup baik. Abang happy sangat,"
"Awak, kalau awak jumpa perempuan yang baik, awak kahwin ya? Bukalah hati awak untuk orang lain,"
"Entahlah, awaklah perempuan yang paling baik yang pernah abang jumpa. Banyak ciri-ciri yang abang suka pada awak."
"Awak jangan macam tu. Saya yakin, awak akan jumpa dengan orang lain satu hari nanti. Tapi awak jangan lupa bagi tahu saya, ya?"
"Yalah..." Mungkin dia malas untuk melayan aku dan mahu segera menamatkan topik yang sedang dibincangkan.
"Awak jangan hilangkan diri macam tu je, ya. Saya tak khianati awak. Jadi, jangan buat saya macam perempuan-perempuan sebelum ni,"
"Ya, abang tahu. Abang sunyi. Boleh tak abang nak rapat dengan awak. Abang tahu, abang takkan dapat tempat yang istimewa macam dia. Tapi, bagilah abang dekat dengan awak lebih dari kawan-kawan awak yang lain, boleh?" Usulnya perlahan dan lambat. Ku kira, dia seorang yang tabah. Dalam situasi begini pun... Dia masih meminta untuk menjadi kawanku.
"Okay, kalau macam tu, awak jadi abang angkat saya ya? Saya tak ada abang," Suaraku perlahan dalam tangis yang masih bersisa.
"Okay, terima kasih. Tapi..."
"Tapi apa?"
"Mulai dari hari ni, awak kenalah panggil abang, abang. Awak kan adik abang. Lagipun, abang lebih tua dari awak,"
"Yalah, mengadalah tu," Aku memuncungkan bibir seakan dia melihatku. Abang Zakri tertawa senang.

1 comment:

are mean said...

dan kadangkala kita hanya sedar keindahannya.pabila ia sudah tiada di depan mata.tidak relaku lepaskan satu-satunya insan.yang berikanku segala makna kehidupan

ade sambungngan lg ke kisah ni t.teja?