Tuesday, July 28, 2009

Kaunselor Tak Bertauliah

Kaunselor tak bertauliah. Ya, itulah aku. Sejak dari zaman persekolahan, hingga di pusat pengajian tinggi, itulah jawatan tidak rasmi yang ku sandang. Peliknya, ada juga di antara mereka yang tidak begitu rapat denganku mencari aku untuk meluahkan rasa mereka. Ada juga rakan menginap di kolej (asrama penginapan dipanggil kolej) lain sanggup berjalan kaki ke kolej kediamanku semata-mata mahu melepaskan segala rasa sedihnya terhadapku. Begitu juga dengan adik-adikku, rakan adik yang aku kenali… Dan aku masih ingat bagaimana Angah yang ketika itu sedang membuat persediaan untuk ke Perancis di Kuala Lumpur sanggup ke Shah Alam menemuiku untuk menceritakan masalahnya. Kini, aku masih menyandang jawatan tersebut. Rakan-rakan di universiti dulu masih lagi menghubungiku untuk melepaskan bebanan perasaan mereka. Kadangkala, kami bertemu biarpun tidak lama. Begitu juga dengan rakan-rakanku kini. Aku turut mempunyai rakan-rakan maya yang sering ku dengar keluh-kesah mereka. Meskipun tidak pernah bersua wajah, email menjadi medium perantaraan buat kami.

Nah, ambillah kalian. Ambillah, ku pinjamkan semangatku, kuberikan kata-kataku sebagai penawar buat merawat luka kalian kerana dengan cara ini aku merasa senang dan puas. Biarlah! Biar suram hati ini terubat tatkala melihat kelegaan kalian saat aku menemani kalian dalam kesedihan. Biar aku jadi kuat untuk menyalurkan kekuatan buat kalian. Biar lemah ini menghilir pergi.

Aku masih ingat, suatu hari, perasaanku merusuh. Fikiran berserabut dengan pelbagai permasalahan. Kegersangan hati mengheret langkahku ke bilik guru kaunseling. Tiada seorang pelajar pun di situ kecuali Puan Zaini, guru kaunseling sekolah yang amat ku sanjung pekertinya. Tuturnya selalu lunak di pendengaranku mengucapkan kalimat-kalimat sakti lalu ditiup menusup ke sanubari.

Wajah kusutku sudah cukup memberitahu Puan Zaini bahawa aku dalam kesedihan. Dengan ciri keibuan jelas terserlah, Puan Zaini mempersilakan aku duduk. Tatkala berhadapan dengan Puan Zaini, hatiku kian diruntun pilu. Aku masih cuba bertahan. Senyum segaris cubaku ukir, namun gagal. Gejolak rasa memadamkan mekar senyumku. Aku diam untuk beberapa ketika. Puan Zaini membiarkan aku begitu. Dia mencatatkan sesuatu di buku rekodnya. Mungkin sedang mencatatkan kehadiranku. Hatiku semakin sebak. Selesai menulis, buku rekod ditutup. Puan Zaini menumpukan sepenuh perhatian padaku. Aku masih seperti tadi. Diam membisu sedang hati mula menangis. Aku tahu, Puan Zaini mampu membaca riak wajahku.

“Ada apa-apa boleh cikgu Bantu, Teja? Ada apa-apa yang boleh kita kongsi?” Suara lembut itu menerjah telinga. Ada ketenangan dalam suara itu. Gelora rasaku kian hebat. “Kenapa Teja?” Oh, aku terlalu lemah. Tangisan yang tadinya bergema di seluruh hati kini pecah tanpa mampuku tahan. Aku mula menangis.
“Teja? Kenapa?” Puan Zaini mendekatiku. Bahuku diusapnya. Seduku makin menggila.
“Menangislah, Teja. Menangislah. Hamburkan semua yang terbuku. Jangan simpan. Bila tenang, ceritakan pada cikgu ya? Cikgu ada dengan kamu,” Aku terus menangis. Aku mahu hamburkan segala-galanya. Biar relai segala hiba. Biar luruh segala resah. Biar gugur segala pilu bersama tangisku ini. Lama aku begitu dengan Puan Zaini memelukku, mungkin ia mahu menyalurkan kekuatan kepadaku. Setelah tenang,

“Teja dah sedia nak cerita dengan cikgu?” Aku meraut wajah.
“Tak apalah cikgu, Teja balik dulu,”
“Tak mahu kongsi dengan cikgu?” Aku diam. “Tak apalah, mungkin Teja belum bersedia. Baliklah, tenangkan hati tu,” Sambungnya lagi.
“Terima kasih, cikgu,” Aku bangun perlahan-lahan
“Kalau Teja nak bercerita, datanglah, cikgu ada kat sini,” Ujarnya lembut.
“Baik cikgu, Teja balik dulu.”

Hari itu… Aku pulang ke asrama tanpa meluahkan perasaanku kepada sesiapa. Aku lega setelah menghamburkan tangisku pada Puan Zaini. Untuk hari ini, cukuplah tangisan menceritakan segalanya. Dan, Puan Zaini sedia mendengarnya.

“Teja, awak ada masalah?” Aku geleng. “Saya tahu awak ada masalah, Teja.” Kata Cikgu Zainuddin pada suatu hari.
“Mana cikgu tahu?” Aku kaget mendengarkan kenyataan yang keluar dari mulutnya.
“Dah lama saya kenal awak Teja. Sudahlah, tak baik memendam. Luahkan pada kertas buat apa? Kertas bukan orang, Teja. Dia hanya kertas, bisu. Tak dapat memberi tindak balas. Awak puas ke macam tu?” Aku terkedu. Mana cikgu tahu? Desis hatiku. Aku tidak pernah menulis apa-apa pada kertas. Aku hanya menulis puisi. Memang satu sekolah tahu aku suka menulis puisi. Jika ada majlis, pasti akulah yang cikgu cari untuk menulis puisi. Kalau ada pertandingan mendeklamasi puisi pula, rakan-rakan akan meminta puisiku untuk mereka deklamasikan. Tapi bagi mereka, menulis puisi itu hobiku, tak lebih dari itu meskipun aku sering meluahkan isi hatiku lewat puisi yang aku tulis. Macam mana cikgu yang seorang ini boleh tahu? Tajamnya pemerhatian dia!
“Saya tak tulis apa-apapun…” Dalihku masih cuba menyembunyikan hal yang sebenar.
“Saya tahu, puisi-puisi tu… luahan hati awak. Carilah orang yang awak percaya untuk luahkan, Teja. Awak pasti akan tenang,” Nasihat Cikgu Zainuddin. Dia kelihatan berhati-hati dalam menuturkan ayat itu. Mungkin tidak mahu mengguris hatiku.
“Tulis puisi pun boleh buat saya tenang,”
“Tapi, tak ada siapa yang dapat bagi awak semangat atau pendapat,”

Emmm… Entahlah. Mana perginya ayat-ayatku yang puitis dulu?

Hari ini… Aku tak tahu kenapa. Hatiku suram, tak seriang semalam. Serasa redup menyelubungi perasaanku. Harap-harap, ianya tidak lama. Sebentar lagi, tebarkanlah cahayamu mentari. Biar aku terus berpijar dalam kehangatanmu. Aku ingin menikmati kilau keemasan cahayamu di kaki langit saat senja merangkul malam.

No comments: