Wednesday, July 29, 2009

Biskut Coklat Guru Kejujuran

Pagi itu, setelah habis membuat kerja rumah, aku pulang ke asrama. Em… Kalau nak diikutkan, buat kerja sekolah kat asrama pun boleh. Tapi apa nak buat, duduk asrama, kenalah ikut undang-undang. Jadi, terpaksalah aku menuruni hampir 100 anak tangga ke sekolah untuk menyiapkan kerja rumah atau mengulangkaji pelajaran di bilik khas yang disediakan. Jadi, setiap hari persekolahan, aku perlu berada di sana dari pukul 8.30-10.30 walaupun tidak mempunyai kerja rumah. Tingkatan 1 yang memulakan sesi persekolahan pada sebelah petang memberikan masa untuk aku berehat. Lebih kurang satu jam lagi aku perlu bersiap ke sekolah.

Jam menunjukkan hampir pukul 11 pagi, aku terasa lapar. Ah, naik dewan makanlah, makan biskut. Tanpa menukar baju labuh yang ku pakai untuk bersantai di rumah (dorm), aku memakai swaiter. Aku tiba di kantin. Abang Rahmat (pekerja dewan makan) yang amat mesra denganku bertanyakan keinginanku. Aku memintanya biskut coklat. Tanpa banyak soal, Abang Rahmat memberikan beberapa keeping biskut coklat kepadaku. Setelah mengucapkan terima kasih, aku duduk di salah sebuah meja makan. Dengan penuh nikmat, biskut coklat ku makan. Ah, bosanlah makan sorang-sorang. Biskut coklat dalam piring ku ambil semuanya dan memasukkannya ke dalam poket swaiter. Boleh makan dengan Mahsuri kat rumah, bisik hatiku. Aku lantas berjalan menuju asrama.

“Teja! Teja!” Satu suara memanggilku. Aku amat kenal dengan suara itu. Cikgu Mastar! Ish, apa yang dia nak ni? Macam halimunan! Kat mana-mana ada je dia ni. Bebelku dalam hati.

“Ya,” Aku berpaling.
“Mari sini, awak,” Cikgu Mastar yang berdiri di padang permainan berhampiran buaian ku hampiri.
“Saya, cikgu?”
“Awak dah habis makan biskut?” Cikgu Mastar bertanya serius. Aku telan liur sebaik Cikgu Mastar menghabiskan soalannya.
“Sudah, cikgu,”
“Apa dalam poket awak?” Aku terdiam. Dia nampak ke aku simpan biskut dalam poket tadi? Mengadalah dia ni! Bukan banyakpun. Sekali-sekala, bukan selalu. Dalam pada hati membebel, mukaku merona merah kerana malu setelah sedar akan kesilapan diri. Undang-undang asrama, mana boleh bawa makanan masuk asrama.
“Ada biskut, kan?” Kepala ku angguk perlahan mengiakan.
“Siapa ajar awak menipu?” Tanyanya perlahan dalam nada tegas.
“Saya minta maaf, cikgu,” Dengan rasa malu, aku memohon kemaafan.
“Baiklah. Pergi habiskan biskut kat dewan makan,” Tanpa berlengah, langkah ku atur laju ke dewan makan.

Mujur Cikgu Mastar tidak marah. Mungkin baginya ini kesilapan kecil. Itulah, menipu lagi, kan dah kena. Marahku pada diri sendiri. “Orang yang mengaku akan kesilapannya, dia adalah satria,” Terngiang kata-kata Cikgu Sharifah Aishah di telingaku. Ya, itulah yang sepatutnya. Aku akan cuba menjadi satria.

No comments: