Aku sememangnya rasa terasing dari keluarga ini sedari aku kecil. Namun, aku tidak pernah luahkannya kepada mana-mana ahli keluarga ini. Aku tahu mereka takkan faham dan takkan pernah cuba memahami. Hanya chek, arwah chek yang saban waktu di sisi memujukku saat aku memerlukannya. Saat jatuh bangunku. Saat aku gembira dan berduka. Tapi kini, chek tiada lagi. Tiada lagi tempat untuk aku bercerita tentang isi hatiku jujur apa yang aku rasa.
Hari ini, mama, abah dan Hakim akan ke rumahku. Menerusi group family, aku ketahui yang abah enggan tinggal lama di KL. Abah nak balik segera. Abah nak naik bas. Kerana bimbang akan keselamatan abah, acik dan Hakim decide nak drive abah balik Kelantan bersama mama dan terus balik KL dan Melaka balik setelah menghantar mereka.
Menerusi perbualan group whatsapp tu jugak, aku ketahui bahawa angah jemput mereka untuk makan tengahari di rumahnya. Tapi aku? Tiada siapa yang ingat. Almaklumlah, aku ni bukan orang senang. Kekurangan pulak tu. Tak adapun sebarang ajakan penyedap hati. Yelah, kalau ajak aku nanti, kena jemput pulak aku kat rumah ni. Bagi acik dan Hakim, mungkin tak berapa boleh dipertikaikan sebab masing-masing dari Negeri Sembilan dan Melaka. Takkan nak ambil aku lepas tu nak patah balik ke Cyber Jaya? Nak harapkan angah, memang taklah kan dia nak susah-payah untuk aku? Nak minta tolong suami dia? Lagi tak boleh harap. Rasanya dia tunggu arahan angah je. Nak bersuarapun belum tentu. Nanti gaduh pulak.
Baru sekejap, aku baca group whatsapp, acik kata nak tunggu Hakim, mama dan abah kat rumah aku je. Angah balas, singgah rumah dia dulu sebab dari Melaka jumpa rumah dia dulu baru rumah aku. Tak ingat pun pasal aku kan?
Hati ni tetap terasa walaupun ini bukan kali pertama aku diperlakukan begini. Wahai hati, tak perlulah bersedih. Sebab Allah tahu, apa yang Dia buat. Tapi kala ini, aku perlukan seseorang untuk menenangkan hatiku yang hiba ini. Chek, along rindukan chek. Along nak peluk dan dium chek. Along nak nangis atas bahu chek macam biasa yang along buat dulu-dulu. Along nak dengar kata-kata pujukan chek yang menyejukkan hati.
Aku tahu, takkan ada orang yang sensitif pun dengan apa yang aku rasa baik mama dan abah pun. Mungkin bagi mereka aku ni menyusahkan. Yelah, kalau nak ke mana-manapun, selalunya aku tak ditanyapun nak ikut ke tak. Maklumlah aku ni kena berpimpin bagai kalau berjalan. Mereka tak bebaskan nak bergerak. Tak apalah. Aku faham. Bertenanglah hati, supaya aku boleh berlakon yang aku OK di hadapan mereka nanti. Sebab tulah, aku jarang kongsikan bersama mereka tentang susahku, senangku, dukaku, gembiraku hatta pencapaianku yang bagus-bagus pun aku malas nak kongsikan dengan mereka. Aku bukan kebanggaan mereka. Sebab mereka sendiripun tak tahu potensi diriku. Yang mereka tahu, aku tak nampak dan susah. Itu je. Dulu, aku tak ada duit dan banyak makan maggie pun, aku tak cerita. Sebab tu duit simpanan aku tak banyak. Sebab duit tu yang aku gunakan kalau aku susah.
Dahlah, kita solat. Adukan semuanya pada Allah. Lepas tu makan ubat selsema dan tidur. Supaya lenyap semua rasa sedih ini. Aku akan terus jauh dari mereka melainkan kalau mereka ada masalah dan perlukan aku. Aku akan terus menjadi seorang yang perahsia buat mereka kerana bagi mereka aku tidak penting apa lagi hati dan perasaanku.