Sunday, February 17, 2019

Kalau Bidadaripun Aku Cemburu...

Suatu ketika dahulu, kalau tak silap masa tu aku masih di bangku sekolah. Biasalah, sekolah aku ni bab keagamaan ni memang diambil berat. Ada saja aktiviti keagamaan yang kami perlu pergi. Salah satunya adalah ceramah agama. Kalau tak silap, ceramah agama tu kat luar. Sekolah hantar kami pergi naik bas or van. Ceramah malam tu, benar-benar buat aku terkesan. Aku ingat sampai sekarang dan aku takkan lupakan, insya-Allah. Malam tu ceramah bab rumahtangga. Kata penceramah, para isteri ingatlah, layanlah suami kamu dengan baik. Jika kamu menganiaya suami kamu, tidak menyenangkan hati suami kamu, menyakitkan hatinya, menyinggung hatinya, menyusahkannya, bidadari melambai-lambai, memanggil-manggil dan menyeru-nyeru suami kamu dengan berkata, "Itu suamiku. Janganlah kau susahkan hatinya. Dia milikku," Dan para bidadari tidak sabar menunggu kedatangan suami tersebut kepadanya. Hati remajaku yang ketika itu tiada kekasih hati terus tersentap. Aku rasa cemburu yang amat. Aku membayangkan, kalaulah suamiku yang diseru bidadari tersebut, Ya Allah, aku tak rela. Aku ingin bersamanya di dunia dan di akhirat. Bidadari yang tidak aku tahu keberadaannya, seruannya terhadap lelaki yang aku cinta pun tidak bisa aku dengari, sehingga sekarang membuatkan aku cemburu. Meskipun aku tidak layak mencemburui bidadari kerana kesucian dan kecantikannya. Apatah lagi perempuan biasa, manusia sepertiku? Mendengar cerita berkisarkannya sudah cukup membuatkan api cemburuku marak belum lagi disebut namanya. Aku bukan mahu bermusuh, tapi itulah perasaan cemburu yang aku yakin, Saidatina Aishah juga merasainya. Jika tidak, masakan terbelah dua pinggan bekas makanan? Tapi aku? Andainya ditakdirkan jodohku bersamanya, untuk terus bersamanya di Jannah, bukan sahaja aku perlu bersaing dengan bidadari-bidadari syurga tapi juga dengan wanita lain, manusia sepertiku. Ya Allah, Andai Kau izin aku menjadi isterinya, izinkan aku menjadi isteri yang bisa bersamanya di dunia dan di akhirat nanti kerana aku benar-benar mencintainya jua dengan izinMu.

No comments: